Nuramirah Athirah. Seorang remaja yang meminati bidang penulisan dan penyiasatan. Masih belajar di sekolah menengah dalam tingkatan tiga. Athirah minat membaca novel, buku motivasi dan cerita penyiasatan. Athirah meminati novel dan buku motivasi karya H.M Tuah Iskandar al-Haj. Manakala, cerita penyiasatan yang paling diminatinya ialah komik Detektif Conan. Secara kebetulan perwatakan Athirah hampir sama dengan watak yang paling diminatinya dalam cerita Detektif Conan, Ai Haibara.
Pagi itu seperti biasa Athirah selaku pengawas sekolah bertugas di tapak perhimpunan. Segalanya berjalan dengan lancar. Ketika di kelas, Miemiey Asmira, sahabat Athirah sejak memasuki alam sekolah menengah juga merupakan rakan sejawatannya menegur Athirah setelah dia duduk di atas kerusinya di sebelah kiri Athirah. “Athirah, sejak akhir-akhir ini aku tengok kau asyik termenung saja. Kenapa?”
Athirah hanya menggelengkan kepalanya bagi menjawab pertanyaan sahabatnya itu. Tetapi kelihatan wajahnya seperti tidak bersemangat.
“Hey, bersemangatlah! Kau ada masalah dengan si Khatib kah? Atau kau sedang menyiasat kes yang sukar dibongkar?” Tanya Miemiey lagi.
“Ada apa sebut nama aku ni, Miemiey?” Tiba-tiba Khatib menegur. Dia terus mengambil kerusinya dan duduk di sebelah kanan meja Athirah.
"Tidak ada yang penting mengenai kau melainkan aku ingin bertanya apa penyebab kemuraman di wajah Athirah?" Jawab Miemiey diiringi soalan.
"Sebenarnya aku juga hendak bertanya akan perkara tersebut. Rupanya kau telah mendahului aku." Jawab Khatib. "Athirah, beritahulah kami kenapa awak bermuram begini?"
"Sejak akhir-akhir ini, bermacam-macam dugaan yang aku terima. Ditambah lagi dengan kebimbangan aku tidak dapat mencapai target untuk PMR tahun ini. Aku tidak kisah jika target aku tidak sampai seratus peratus, tetapi aku risau kalau aku mendapat kegagalan dalam PMR itu nanti." Jawab Athirah.
"Athirah, kau boleh mengharungi segala cabaran hidup jika kau berusaha. Bukankah kau seorang yang tabah menghadapi dugaan. Sentiasa tenang seperti watak Ai Haibara dalam Detektif Conan. Kau memang sama seperti watak Ai Haibara. Cuma bezanya, kau tidak pernah kelihatan terlalu takut apabila merasakan kehadiran orang jahat. Sebab kau bukanlah bekas ahli Organisasi Hitam. Tetapi, kau boleh merasakan akan terjadinya sesuatu yang mungkin buruk atau mungkin membawa kepada kebaikan." Kata Miemiey.
"Ini bermakna aku tidak normal seratus peratus. Aku tetap mempunyai perasaan takut. Takut pada sesuatu secara tiba-tiba dan belum tentu akan terjadinya perkara buruk. Adakalanya aku menyangka perkara yang tak baik berlaku, tetapi perkara yang sebenar adalah sebaliknya. Ianya adalah perasaan yang amat membencikan." Balas Athirah.
"Tapi, hadirnya perasaan itu telah memberikan sesuatu alamat dan membolehkan awak bersedia dan berhati-hati sejak awal lagi. Awak tetap normal. Mungkin ada gila-gila, tetapi bukanlah gila. Awak pernah memberitahu saya tentang satu pesanan guru awak, 'kalau nak jadi pandai, otak mesti jadi gila-gila. Tapi bukanlah gila.' Awak sudah lupakah?" Khatib mengingatkan.
“Ingat. Apa lagi yang awak ingat?” Tanya Athirah pula.
“Awak pernah kata, ‘detektif tidak akan menyerah kalah atau berputus asa hanya kerana kekeliruan dalam sesuatu kes. Jika kes itu selesai, itulah saat yang menggembirakan walaupun hati sedih dengan apa yang telah berlaku.’ Jadi, kenapa awak perlu bermuram begini seperti orang yang telah berputus asa? Jika awak ada masalah, awak boleh berkongsi dengan kami. Tidak perlu menanggung sendiri sehingga awak tidak bersemangat untuk melakukan segala perkara.” Kata Khatib.
Athirah tunduk. Akhirnya dia mengangguk dan tersenyum sambil memandang kedua-dua sahabatnya itu.
“Bukankah kelihatan cantik apabila awak tersenyum.” Puji Khatib. Athirah tertunduk malu.
“Seronoknya kamu berdua ya. Kedua-duanya saling memahami. Sampai aku pula yang ketinggalan untuk memberi pendapat. Semuanya telah disebut oleh Khatib tadi. Maklumlah, kamu berdua adalah pasangan kekasih.” Kata Miemiey.
“Eh, mana ada!” Serentak Athirah dan Khatib menafikannya apabila mendengar kata-kata Miemiey itu.
Beberapa orang pelajar di kelas mereka sudah kelihatan tersenyum sambil berbisik-bisik. Ketika itu, Ahmad Faiz, rakan sejawatan Athirah dan Miemiey menarik kerusinya kemudian duduk di kiri meja guru yang berada di hadapan meja Athirah dan Miemiey. Kedudukan Faiz dari pandangan Athirah dan Miemiey ialah berada di sebelah kanan meja Athirah. Ini bermakna, Faiz duduk di sebelah kanan Khatib.
“Athirah, bagaimana dengan kes yang kau siasat tu? Sudah ada jawapannya?” Tanya Faiz tiba-tiba. Khatib berpaling ke kanan melihat Faiz, kemudian dia memandang wajah Athirah.
“Kes apa pula ni, Athirah? Awak tidak pernah cerita pada saya.” Tanya Khatib.
“Kes itu adalah kes pembunuhan di sebuah bangunan lama. Tajuknya, Misteri Bangunan Tua. Mungkin hanya sebuah cerita yang direka oleh kawan saya yang berasal dari Indonesia untuk menguji kepintaran saya menyiasat. Kes itu saya terima pada 6 Februari 2008. Disebabkan masa sebulan untuk saya menyiasat telah habis, kes pembunuhan kedua di bangunan yang sama berlaku lagi dan saya telah menerima kes itu pada 4 Mac 2008.” Jawab Athirah. “Beberapa hari selepas saya menerima kes pembunuhan yang pertama itu, awak telah berpindah masuk ke sekolah ini. Oleh itu, saya tidak menceritakan kepada awak kes tersebut. Saya hanya berbincang dengan Afifi untuk mencari pembunuh untuk kes pertama. Kes kedua saya bincangkan di Friendster.” Sambungnya lagi.
“Oh, patutlah saya tengok awak rapat dengan Afifi sewaktu saya baru masuk ke kelas ini. Tapi, kenapa awak tak nak ceritakan saja pada saya tentang kes itu?” Tanya Khatib.
Athirah tersenyum sambil menoleh ke kiri memandang Miemiey. “Sebab Miemiey tidak minat menyiasat. Dia hanya tolong baca saja. Hahahaha…” Tiba-tiba Afifi Zariman menyampuk.
Khatib, Athirah, Miemiey, Faiz dan Ahmad Asyraf turut ketawa. “Ooo… Afifi curi-curi dengar perbualan orang lain rupanya.” Kata mereka serentak.
“Jangan tuduh aku seorang sahaja. Asyraf pun curi-curi dengar juga.” Kata Afifi.
“Aku bersama-sama Afifi tadi. Kebetulan terdengar perbualan kamu, tapi aku tidaklah berniat nak menyampuk perbualan kamu itu macam Afifi ni.” Asyraf membela dirinya.
“Sudahlah. Nanti keluar tema pula kalau kamu terus melalut macam ini.” Kata Faiz.
Mereka semua mengerutkan kening mendengar kata-kata Faiz tersebut. “Keluar tema?” Tanya mereka hampir serentak.
“Lupakan sahaja kata-kata aku tadi. Pertanyaan aku tentang kes tersebut belum dijawab oleh Athirah lagi.” Faiz mengingatkan.
“Oh, aku terlupa tadi! Masih belum ada penyelesaiannya lagi. Kes itu memeningkan kepala. Ditambah lagi dengan pertanyaan kau yang memeningkan kepalaku tentang cara membunuh dan kepastian mereka bahawa tiada sesiapa di kawasan percutian mereka itu melainkan hanya mereka berlapan. Cuti semester ini aku akan teruskan penyiasatan aku bersama rakan aku yang turut menyiasat kes itu nanti.” Jawab Athirah.
“Rakan? Siapa?” Tanya Faiz
“Detektif Azrul.” Jawab Athirah. “Lukhman juga ada memberikan pendapatnya. Tapi, yang menyiasat kes ini sepenuhnya hanyalah aku dan Azrul.”
“Hah!?” Faiz dan rakannya yang lain terkejut mendengar jawapan Athirah itu. “Si Azrul pun turut menyiasat kes ini?” Tanya Faiz.
“Kamu sangka Azrul yang mana?” Tanya Athirah.
“Azrul pelajar tingkatan 5 Ixora yang menjadi ketua pengawas sekolah kita ini.” Jawab Miemiey.
Serta-merta Athirah ketawa mendengar penjelasan Miemiey itu. Mereka semua hairan melihat gelagat Athirah itu.
“Yang aku maksudkan ialah Detektif Azrul, kawan aku di Friendster. Azrul ketua pengawas itu bukanlah watak kumpulan penyiasat untuk kes ini.” Athirah memberi penjelasan kepada rakan-rakannya yang berada dalam kebingungan itu. “Masih bingung lagi? Hey, janganlah lari dari tema dan tajuk!”
“Lari dari tema dan tajuk?” Mereka tidak faham maksud kata-kata Athirah itu.
“Lupakan saja kata-kata aku itu.” Kata Athirah.
“Kenapa kau dan Faiz mengatakan sesuatu yang membuatkan kami bertambah bingung?” Tanya Miemiey. “Seperti ada sesuatu yang tersirat di sebalik kata-kata kamu berdua.”
“Kamu berdua ada rancang sesuatukah?” Tanya Afifi pula.
Athirah dan Faiz menggelengkan kepala mereka. “Kamu akan tahu juga nanti.” Kata mereka dengan suara yang rendah.
“Kau jangan buat hal Faiz. Kau jangan nak potong jalan Khatib.” Kata Miemiey.
Faiz berpaling merenung Khatib. Khatib tidak faham maksud renungan Faiz itu. Dia pernah mendengar cerita dari Athirah bahawa Faiz itu adakalanya sukar untuk difahami. Oleh itu, Khatib tidak mengendahkan renungan Faiz itu.
“Hilangkan kemuraman di wajahmu, Athirah. Saya senang melihat keceriaan di wajah awak. Saya hendak melihat kegigihan awak dan rakan-rakan awak menyiasat kes pembunuhan itu.” Kata Khatib. Athirah mengangguk dan menanam tekad untuk menyelesaikan kes pembunuhan yang diberikan oleh kenalannya dari Indonesia itu dengan jayanya.
Cuti semester pertama sudah bermula. Semua kerja sekolah yang diberikan oleh guru sekolah telah Athirah siapkan bersama kawan-kawannya di sekolah. Dia mengaktifkan komputernya untuk meneruskan siasatannya dalam kes pembunuhan di bangunan tua itu. Pelbagai andaian telah dibuatnya. Tetapi, dia belum mengetahui perkara yang sebenar.
Athirah menghabiskan masa cuti seminggunya dengan mencari maklumat untuk kerja kursus folio sejarah, mengarang cerpen dan menganalisis kes yang disiasatnya bersama-sama rakan-rakannya.
Pada 10 Mac 2008, hari ketiga cuti sekolah, Athirah dan rakan-rakannya telah membuat pelbagai kesimpulan. Azrul meminta Athirah memberitahu kesimpulannya untuk kes pembunuhan kedua itu kepada penulis cerita kes pembunuhan tersebut. Akhirnya, Athirah membuat keputusan untuk menghantar semua kesimpulan yang dibuat oleh Afifi, Lukhman, Azrul dan dirinya sendiri. Tidak lupa juga pertanyaan Faiz yang memeningkan kepalanya itu. Sebagai orang tengah, Athirah bertanggungjawab untuk memberikan berita dari kenalannya yang menghantar kes tersebut dan menghantar segala kesimpulan kepada kenalannya itu.
Sehingga 14 Mac Athirah tidak menerima sebarang jawapan dari kenalannya di Indonesia tersebut tentang kes pembunuhan yang disiasat olehnya itu. Pada 15 Mac, dia menerima jawapan dari kenalannya tersebut. “Apa ni? Kenapa boleh jadi begini? Aku tidak mahu pembunuhan terus berlaku. Aku tidak mahu ada kehancuran dalam hubungan persahabatan mereka. Kenapa ini jawapan yang aku terima?” Rungut Athirah sendirian. Dia terus menghantar jawapan dari kenalannya itu ke dalam kumpulan Friendster tempat dia membincangkan kes pembunuhan itu bersama-sama rakannya di Friendster.
Dua hari kemudian, Athirah kembali ke sekolah. Ini bermakna cuti semester satu telah berakhir. Pelbagai cerita dikongsi bersama kawan-kawannya. Tetapi, adakalanya Khatib dan Miemiey terlihat wajah muram Athirah.
“Kau kata, pada cuti semester yang lalu kau nak teruskan penyiasatan kau tentang kes pembunuhan dari Indonesia tu. Macammana? Dah selesai?” Tanya Faiz kepada Athirah.
Athirah tersenyum. “Aku dah hantar semua kesimpulan yang diberikan kepada aku.” Jawab Athirah.
“Maksud kau, kesimpulan yang bercampur. Apa jawapan yang sebenar? Siapa pembunuhnya?” Tanya Faiz lagi.
“Kes ketiga telah muncul. Tapi hanya separuh jalan. Maksud aku, dia menghantar cerita yang tidak lengkap kepadaku.” Jawab Athirah.
“Kes ketiga? Kawan kau tu peliklah. Salah satu nama watak kes pembunuhan itu adalah nama kau. Dan watak kau itulah yang menjadi mngsa kes pembunuhan pertama. Kalau kes pembunuhan itu berterusan tanpa penyelesaian, akhirnya semua watak tu akan mati.” Kata Faiz sambil ketawa.
“Kau tahu mempersoalkan pelbagai soalan yang membingungkan aku. Tapi, kau tidak cuba untuk menyelesaikan kes tersebut.” Rungut Athirah.
“Aku mahu tengok usaha kau dalam menyelesaikan kes itu, Ai Haibara.” Kata Faiz.
“Ceh! Kau tu perasan jadi Shinichi Kudo, tapi wataknya macam Kogoro Mouri.” Rungut Athirah lagi. Faiz hanya ketawa mendengar rungutan Athirah itu.
Athirah meneruskan siasatannya tentang kes tersebut. Pada cuti Sambutan Maulidur Rasul, dia menerima email daripada kenalannya yang mengirimkan kes pembunuhan itut. Isi kandungan email tersebut adalah kes pembunuhan yang ketiga yang lengkap. Pada mulanya, Athirah merasakan ada keganjilan apabila melihat email tersebut. Dan Athirah masih tidak menemui jawapan bagi kes tersebut walaupun pada tajuk email tersebut tertulis ‘Jawabanku’. Yang dia fikirkan ialah, pembunuhnya adalah watak utama cerita tersebut. “Jika dialah pembunuhnya, bermakna mangsa kes kedua dibunuh oleh watak yang lain. Tapi, siapa? Yang mengelirukan adalah, kata-kata Lukhman tentang penulisan karya kreatif. Katanya watak utama tidak boleh menjadi watak antagonis. Kalau begitu, pembunuhnya adalah seseorang yang mengetahui bahawa mangsa ketiga terlihat kelibat seseorang waktu kes pertama berlaku. Hanya ada dua orang yang disyaki dalam hal ini, salah seorangnya adalah watak utama atau dengan kata lain ialah si pencerita.” Athirah bermonolog.
Disebabkan tidak menemui jawapan, Athirah bercadang ingin menghantar kes ketiga tersebut ke dalam kumpulan perbincangannya di Friendster. Tiba-tiba, dia menemui sesuatu yang mengejutkan. Yang sebenarnya adalah kesilapan besar penulis tersebut. Athirah tersenyum, kemudian ketawa sendirian. Dia mengambil keputusan untuk menangguhkan penghantaran kes ketiga itu. Dia telah menemui penyelesaian bagi kes ketiga dan juga kes pertama. Dia segera menghantar jawapannya melalui Yahoo! Mesengger kepada kenalannya itu.
Pada keesokan harinya, 21 Mac 2008, Athirah hadir ke sekolah dengan gembira. Keriangannya itu dilihat oleh Miemiey dan Khatib. “Kes sudah selesaikah?” Pertanyaan itu bermain-main di kepala otak mereka. Ketika di kelas, mereka terlihat Athirah membawa beberapa helai kertas yang bercetak di tangannya. Athirah tidak memasukkan kertas tersebut ke dalam failnya. Mereka bertanya apa yang dibawa oleh Athirah itu, Athirah memberitahu bahawa dia telah menyiapkan cerpen untuk dihantarnya kepada guru matapelajaran bahasa melayu mereka Miemiey dan Khatib sama-sama membaca cerpen tersebut.
Ketika itu, Faiz datang kepada Athirah. “Kau tulis cerpen tentang apa?” Tanya Faiz.
“Cerpen bertemakan kegigihan. Tajuknya Hilangkan Kemuraman Di Wajahmu.” Jawab Athirah.
Faiz tersenyum. “Apa maksud kata-kata kau tempoh hari, ‘janganlah lari dari tema dan tajuk’. Kau maksudkan tentang cerpen itu kah?” Tanya Faiz.
Athirah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum menahan ketawa. Geli hatinya teringat secara tiba-tiba dia mengatakan sesuatu yang membingungkan rakan-rakannya. “Apa pula maksud kata-kata kau tempoh hari tentang ‘keluar tema’ itu?” Tanya Athirah pula.
“Sama seperti kau. Waktu itu aku cari idea untuk menulis cerpen. Jadi, aku cuba mendapatkan idea melalui perbualan tentang kes yang kau siasat itu. Pasti kau juga mendapatkan sedikit idea dari perbualan kita itu.” Kata Faiz.
Athirah menganggukkan kepalanya. “Alangkah indahnya dunia jika pembunuhan itu hanya ada di dalam cerita, kerana kehilangan seseorang yang dicintai itu lebih pedih berbanding hanya di dalam cerita.” Kata Athirah tiba-tiba. Kemudian dia mengeluh.
“Kenapa kau mengeluh? Kau masih tidak dapat menyelesaikan kes pembunuhan itu?” Tanya Faiz.
“Kes itu telah pun selesai. Tetapi, ianya seperti sesuatu yang aku kesalkan. Ianya satu kesilapan yang besar sehingga aku mengetahui siapa pembunuhnya. Dia memberikan bukti yang paling kukuh. Tetapi, satu kesilapannya yang aku betul-betul kesalkan adalah kebodohan pembunuh itu. Memang betul fakta aku bahawa detektif tidak akan menyerah kalah atau berputus asa hanya kerana kekeliruan dalam sesuatu kes. Jika kes itu selesai, itulah saat yang menggembirakan walaupun hati sedih dengan apa yang telah berlaku.” Kata Athirah.
“Bagaimana kau boleh mengetahui pembunuh yang sebenar?” Tanya Faiz.
“Kes pertama telah memberikan jawapan yang sebenar. Tapi, kes kedua telah membuatkan aku keliru. Di tambah lagi dengan pertanyaan kau tempoh hari dan kata-kata Lukhman tentang penulisan karya kreatif.” Jawab Athirah. “Setelah aku menghantar semua kesimpulan, aku terima kes yang ketiga. Kes pembunuhan. Dan orang yang aku syaki dalam kes pembunuhan pertama menjadi suspek utama. Dan tanpa disangka-sangka, aku menjumpai satu kesilapannya. Kesilapan besar yang dilakukannya. Dia telah menyembunyikan beberapa ayat di setiap langkauan perenggan. Ayat inilah yang aku temukan, aku masukkan kedalam Microsoft Word, kemudian mencetak kesemuanya.” Kata Athirah sambil menghulurkan sekeping kertas. Faiz membaca isi kandungan kertas tersebut yang berbahasa Indonesia.
- Bersiaplah dengan kejutan yang aku berikan padamu J.
- Sayangku-sayangku, kamu masih bingung mencari siapa pembunuhnya?
- Itu aku, Uckiha yang membunuhnya, pasti kamu terkejutkan?
- Seperti ini kronologinya, cerita tentang buku harian Athirah, hanya karanganku untuk mengesankan bahwa yang membunuh adalah penunggu bangunan tua.
- Kenapa aku memilih mencari di dalam bangunan tua, karena aku harus membuat cerita seperti itu. Kalau aku di luar pasti tak bisa kan?
- Cara membunuhya pun mudah, aku racun ia, lalu ½ tubuhnya berada tepat dibawahnya. Aku tidak memutilasinya.
- Lalu aku sayat tubuhnya yang berbatasan dengan lantai, akhirnya pembunuhan tercipta dan darah tidak akan ada yang meninggalkan ruangan. (Aku calon pembunuh sejati ya J).
- Kunci ruangannya pun selalu aku bawa, hingga saat kami masuk, diam-diam aku menaruh kunci di dalam ruangan itu.
- Pasti kamu mengira, bukankah aku melihat bulan? Aku melihat bulan dan banyak waktu, membunuhnya.
- Namun perlu diingat aku tidak membunuh Dwi, aku sendiri juga terkejut akan hal itu. Walaupun aku senang dengan ia terbunuh. Aku mempunyai alibi. Heee, tapi kasihan juga Dwi ya.
- Sebenarnya aku tak yakin juga, kamu dapat menemukan tulisanku ini.
- Semoga kamu termasuk orang yang cermat, sehingga tahu keberadaan tulisanku ini.
- Kalau kamu sampai tidak tahu aku rugi dung.
- Hai, Athirah. Aku ingin berbicara padamu J. Aku juga yang membunuh Nuru.
- Alasannya pasti kamu tahu kan, aku khawatir ia mengetahui saat aku membunuh Athirah. (Seperti yang aku ceritakan kepadamu dalam kasus pembunuhan ketiga ini, Nuru melihat sekelebat orang saat ia ke kamar kecil. Sungguh tidak kusangka Nuru mempercayai bahwa aku adalah temannya yang baik).
- Itu juga menjadi alasan mengapa aku berbasah, untuk menghilangkan darah yang menempel di bajuku.
- Sepertinya aku adalah pembunuh yang sangat percaya diri bahwa nanti tulisan ini pasti tidak ketahuan.
- Saat aku menulis ini aku sembari tersenyum, memikirkan ekspresi kalian saat mengetahui tulisanku ini.
- Kadang menjadi jahat itu sangat mengasyikan, ayo kita bertanding! Kali ini kejahatan akan menang.
- Ku akui, kamu juga anak yang cerdas, tahu bahwa pembunuhnya tidak hanya satu. (Ini aku ketahui menerusi kesimpulan yang kamu berikan kepadaku).
- Aku yakin kamu akan mengikuti omonganku bahwa aku tidak membunuhnya.
- Sudah berapa kali aku katakan padamu bahwa akulah yang membunuh Athirah dan Nuru.
- Mereka berdua pantas untuk mendapatkanya.
- Athirah karena menolak cintaku dan Nuru karena mengetahui gerakanku malam sebelum kejadian.
- Tunjukan kemampuanmu, wahai detektif. Apabila kamu benar-benar detektif yang dapat diandalkan.
- Tapi aku yakin kamu tidak akan tahu, ayolah cermati setiap kata yang aku tulis !
- Semoga mimpi indah, sayangku J.
- Aku juga sudah menyelesaikan ceritanya. Saat kamu bersama rekanmu tahu hal ini.
“Aku betul-betul tidak menyangka bahawa pembunuhnya adalah pencerita itu sendiri. Tindakannya menulis pengakuannya menggunakan tulisan tersembunyi sebenarnya tidak berkesan. Dia tidak terfikir bagaimana caranya aku dan Detektif Azrul membincangkan kes ini. Apabila aku menghantar kes ketiga ini kepada Abdul Hakim Lukhman as-Sariki, penulis muda cerita misteri itu telah mengetahui bahawa terdapat ayat tersembunyi di sebalik langkauan setiap perenggan.” Beritahu Athirah.
“Berapa umur sebenar penulis itu?” Tanya Faiz.
“Tahun ini dia berumur 16 tahun. Tingkatan empat.” Jawab Athirah.
“Oh! Penulis muda seperti kau.” Kata Faiz.
“Tapi, aku betul-betul kesal dengan sikap pencerita atau pembunuh itu. Dia sanggup membunuh orang yang dicintainya hanya kerana cintanya ditolak. Dan akhirnya dia telah membunuh orang yang benar-benar mencintainya, iaitu mangsa pembunuhan ketiga.” Kata Athirah dalam nada kekesalan. “Kesilapan besar mangsa ketiga itu ialah mencintai si pencerita tersebut dan dia percaya serta menceritakan apa yang dilihatnya pada malam sebelum kejadian kepada si pencerita yang sebenarnya adalah seorang pembunuh.”
“Walaupun begitu, awak telah berjaya menyelesaikan kes pembunuhan itu.” Kata Khatib setelah selesai membaca cerpen hasil karya Athirah itu.
“Hari ini kami telah nampak keriangan di wajah kau.” Kata Miemiey pula.
“Kini telah hilang kemuraman di wajahmu.” Kata Khatib.
“Tapi kemuramannya datang kembali kerana kehancuran persahabatan di dalam kes pembunuhan yang hanya berada di dalam cerita rekaan semata-mata.” Kata Miemiey dan menyebabkan mereka semua ketawa.
“Tapi, kes itu tidak selesai sepenuhnya.” Beritahu Athirah. “Pembunuhan kedua belum terjawab lagi.”
“Ada dua pembunuh?” Miemiey, Faiz dan Khatib terkejut.
“Faiz tidak tahu kah? Bukankah pembunuh itu ada menulis ‘Ku akui, kamu juga anak yang cerdas, tahu bahwa pembunuhnya tidak hanya satu. (Ini aku ketahui menerusi kesimpulan yang kamu berikan kepadaku).’ Kau periksa kembali kertas yang aku berikan itu.” Kata Athirah.
Faiz tersenyum dan membaca kembali kertas yang diberikan oleh Athirah itu.
“Aku akan terus menyiasat kes ini sehingga selesai. Aku mesti mendapatkan pembunuh kes pembunuhan kedua dan mencari bukti dan motifnya. Aku tidak suka melihat kehancuran dalam persahabatan mereka.” Kata Athirah.
“Awak sememangnya tidak kenal erti putus asa.” Puji Khatib.
“Khatib, Athirah, kenapa kamu berdua tidak menggunakan kata ganti nama diri aku dan kau? Kalau kamu berdua berbual antara satu sama lain, pasti kamu akan menggunakan kata ganti nama diri awak dan saya.” Tanya Faiz dalam kebingungan.
“Sebab mereka telah terbiasa menggunakan dua perkataan tersebut sejak berkenalan di Friendster lagi.” Miemiey menjawab mewakili kedua-dua sahabatnya itu.
“Itulah yang sebenarnya.” Khatib menyokong. “Walaupun pelik, tapi itulah kebenarannya.”
Athirah berkata. “Aku masih ingat satu fakta yang bagus untuk dikongsi bersama. ‘Sentiasa tegakkan kebenaran, walau ada yang tidak senang. Sentiasa menjadi benar, walau ada yang tidak membenar. Sentiasa tegakkan kebenaran, walau nyawa menjadi taruhan, kerana janji Allah tak pernah dimungkiri, ganjaran syurga menjadi bukti.’ Oleh Abdul Hakim Lukhman as-Sariki.”
TAMAT
21.03.2008

0 comments:
Post a Comment