Tuesday, April 26, 2011

Kata Manis Yang Kau Rindu

Karya: N Athirah

Bukan niatku ingin membisu seribu kata
mengundang penantian di hatimu wahai insan
namun,
kalamku hilang tatkala ribut melanda
dipanah petir dibasahi lebat hujan
pedih dan bisa menjalar di hati yang rapuh
luka berdarah menikam jiwa yang lembut.

Bicara kalam ingin kuluah
namun ragu menguasai minda
akankah ada sang penerima,
pembaca setia peneman duka
menyemai semangat di dalam jiwa.

Manakah kata seindah bahasa
andai menjadi bisa bencana
manakah kata penawar nestapa
andai mengguris luka kecewa
manakah kata penghibur jiwa
andai mengundang fatamorgana minda.

Diam adalah sebaik-baik bicara
menjaga lidah dari menista
menjaga kata dari memuja
agar tiada sesiapa tercela
agar tiada insan terleka alpa
tiada manis kata terselit racun berbisa

Bimbang luka silam berdarah semula
musnah ceria berderai harapan
terkubur ilham melayang impian
hanya kerana sekecil bicara penuh bisa
pembunuh ilham puitis jiwa
lenyaplah kata manis penuh pesona.

Hati sedih merintih pilu
ingin kembali ke masa lalu
lancar mencoret bait-bait indah kata
luahan rasa pengganti bicara
menjadi teman dikala duka mahupun gembira.

Kata manis yang kau rindu
tidak seindah masa lalu
namun, pemberian darimu
sungguh bermakna buatku.
W.P Labuan,
26 April 2011

*Puisi ini adalah jawab aku untuk puisi (hadiah) daripada Abang PS (rujuk sini)

HATI DENGAN KATA-KATA (Hadiah dari Abang Penulis Senja)

Abang Penulis Senja ni penulis puisi yang boleh dikatakan power. Dalam sehari Abang PS ni boleh siapkan berpuluh-puluh buah puisi. SUBHANALLAH!

Ini adalah petikan puisi Abang PS yang penulis suka sangat:

aku hanyalah sebaris puisi
temanku kata kawanku aksara
bernyanyi dan menari
meski dengan airmata
(dipetik dari puisi "Aku Hanya Sebaris Puisi")


"Menulis lah dengan hati .. kerana menulis dengan hati akan memberi kesan mendalam kepada pembaca" Penulis Senja
Ada sekali penulis join segmen Abang PS, penulis dan peserta-peserta lain yang turut  dihadiahkan satu puisi setiap seorang. Inilah puisi dari Abang PS;
pemenang 8 :

nathirah

hati dengan kata-kata

hati hati bila bicara
kerana kata kata boleh memisahkan
kerana kata kata jua boleh mencetuskan kasih sayang
kerna kata kata bisa membuatkan
semua orang leka
dan terlupa....
kerana kata kata jua boleh buatkan
kita bermuram duka
kata kata umpama pisau dimata
diasah selalu boleh luka
tangan yang memegangnya
kata kata jua bisa menceriakan
telinga yang mendengarnya
kata kata jua membuatkan kita
jatuh cinta.....
kata kata jua buat kita tak tidur malam
kerna kata kata indah keluar dari hati
yg tulus ikhlas disulami bunga bunga
kata kata jua pengikat kasih sayang
kerna bisa buat hati tersenyum
muka berseri seri kerna kata kata
bisakah kau berkata kata lagi
aku rindukan
kata kata manis mu

Seperti kata Abang PS
"Menulis lah dengan hati .. kerana menulis dengan hati akan memberi kesan mendalam kepada pembaca"

Ini pula kata-kata penulis sendiri:
"Puisi ialah sebuah bait-bait kata, penuh makna, penuh rahsia, menjadi luahan rasa, melalui pena puisi bicara. Membacanya menjadi satu keindahan, pabila bait-baitnya dihayati, dibaca dengan hati, menusuk ke dalam jiwa suci."

Penulis pun buat puisi untuk Abang PS (menjawab puisi beliau):

 
Template by: Abdul Munir