Monday, December 28, 2009

Cerpen santai: KERANA SI HITAM

Karya: N Athirah

Aku duduk di beranda rumah. Fikiranku berserabut. Aku baru sahaja lepas bertengkar dengan sahabatku tiga malam yang lepas melalui sms. Terasa tertekan apabila terkenang kembali pertengkaran kami itu. Sejak pertengkaran kami itu, aku langsung tidak melayan mesej yang dihantarnya. Perasaan marahku masih lagi bersisa di dalam diri.

Waktu petang ini aku berasa bosan. Telefon bimbitku sentiasa berada bersamaku. Untuk apa aku membawa telefon bimbit ini ke sana ke mari walaupun berada di rumah? Mesej daripada siapa aku tunggu? Panggilan daripada siapa aku nantikan? Pada waktu petang begini, biasanya aku akan setia menunggu mesej daripada sahabatku. Kami kerap berbalas sms. Tetapi, semenjak pertengkaran itu, kami tidak lagi saling berhubung. Aku kini sudah tidak punya teman. Terasa kesunyian.

Ketika aku dalam kebosanan itulah aku terpandang seekor anak kucing berbulu kelabu-kelabu hitam persis anak kucingku yang telah mati dilanggar kereta lebih kurang enam atau tujuh tahun yang lalu. Anak kucing itu bermain-main sendirian di taman berhadapan dengan rumah aku. Anak kucing siapakah itu? Bukan juga anak kucing jiran aku. Aku berjalan menghampiri anak kucing itu. Betul-betul mirip dengan anak kucing aku yang dulu. Anak kucing jantan juga. Rindunya aku dengan anak kucing ku yang dulu tu.

Aku angkat anak kucing itu, jinak. Tengah leka bermain-main dengan anak kucing itu, tanpa kusedari ada seseorang datang menghampiriku. Aku menoleh, berdiri seorang remaja lelaki lebih kurang sebaya denganku. Siapa lelaki ni? "Err... nak panggil apa ae?" Dia menggarukan kepalanya.

Peliklah dengan lelaki ni. Nak menguratkah dia? "Awak ada nak minta tolongkah?" Tanyaku.

"Awak? Eh, aku tak biasa la guna perkataan tu. Hehehe... Guna 'aku kau' boleh tak?" Katanya.

Erk! Tadi susah sangat nak bercakap. Peliklah budak ni. "Err... ada yang nak aku tolong?" Tanyaku lagi.

"Sebenarnya saja nak berkenalan. Aku tengok kau asyik sangat main dengan kucing ni tadi. Kau jumpa kucing ni kat mana?" Katanya.

Aik? Dia ni peramah juga rupanya. Tadi susah-susah nak bersuara. "Aku nampak kucing ni main sendirian kat taman ni. Kucing ni jinak, jadi aku suka main-main dengan kucing ni," beritahuku.

"Kucing ni sebenarnya kucing aku. Tadi kucing ni terlepas keluar dari pagar. Aku risau kucing ni kena makan anjing. Nasib baik kucing ni selamat," katanya.

Kucing dia rupanya. Tak ada harapan aku nak pelihara kucing ni. "Aku Hazim. Selamat berkenalan," dia senyum kepadaku. Aku membalas senyuman itu.

"Panggil aku Ira," jawabku.

"Kucing ni namanya Si Hitam. Kalau kau suka, kau boleh pelihara. Nanti aku bolehlah sekali-sekala jenguk kucing ni sambil jumpa kau," dia tersengih. Macam dia tahu saja apa yang sedang aku fikirkan waktu ni. Dah diberi lampu hijau tu, tentulah aku setuju.

Sejak petang itu, kami mulai akrab sehinggakan aku hampir terlupa dengan pertengkaran aku dengan sahabatku tempoh hari. "Ira, teman lelaki kau kah ni? Patutlah kau tak layan aku lagi sekarang, dah ada teman lelaki rupanya." Tersembur keluar air yang baru kuminum dari botol airku sebentar tadi. Tepat-tepat mengenai Kamal yang berada di hadapan aku waktu itu.

"Hei, basah baju aku!" Alamak, dahlah Kamal ni pemarah, air ni tersembur kat dia pula. Hazim kat sebelah aku ni pula asyik nak ketawakan orang saja. Si Hairul ni pun satu, kalau nak serbu aku tu, janganlah waktu aku tengah minum.

"Sorry Kamal, aku tak sengaja," lebih baik aku minta maaf dulu sebelum aku bercakap dengan Hairul tu.

"Kenapa dengan kau ni Hairul? Kau sendiri juga yang minta kat aku hari tu supaya tak balas mesej kau lagi. Senang-senang saja kau nak tinggalkan aku dengan masalah aku sendirian. Kau tak bantu aku pun. Sekarang bila aku dapat kawan lain, kau marah-marah pula," aku membentak.

"Dah kau hari tu nak marah-marah. Aku bukannya suka kau marah-marah tu," balasnya.

"Aku sekadar tegur kau sajalah. Kau tu yang selalu salah sangka. Selama ni, betapa pedih sekali pun teguran kau kat aku, aku tak pernah kisah pun. Kenapa bila aku tegur kau sikit, kau buat aku sedih pula? Tertekan aku hanya kerana hal itu tau," kataku.

Hazim yang melihat pertengkaran kami itu segera menyampuk. Sebelum ini aku sememangnya pernah menceritakan apa yang berlaku di antara aku dan Hairul. Cuma waktu tu Hazim tidak mengenali siapa Hairul. "Hairul, Ira, kamu berdua ni kawan karib. Kan tak elok bertengkar macam ni. Selesaikanlah elok-elok," kata Hazim. "Hairul, aku dengan Ira cuma kawan. Dan aku tidak pernah terfikir untuk memutuskan tali persahabatan kamu. Kau masih boleh berkawan dengan dia. Tapi, janganlah biar pertengkaran kamu ini berlanjutan," katanya lagi. "Ira, kau janganlah ikutkan perasaan kau tu. Aku dah berulang-kali beritahu kau, sahabat yang telah ditemui itu jangan disia-siakan. Jika sahabat itu melakukan kesalahan, maafkanlah dia. Jika kamu bertengkar dengan sahabat itu, segeralah selesaikannya. Bukannya terus-terusan bergaduh macam ni," giliran aku pula ditegur oleh Hazim. Hazim begitu memahami. Dia tidak pernah mementingkan dirinya sendiri. Sebarang silap aku pasti akan ditegurnya. Selama ini, dia selalu menasihati aku agar aku tidak lagi membiarkan pergaduhan antara aku dan Hairul berterusan. Cuma aku sahaja yang berdegil.

Akhirnya aku dan Hairul akur. Kami saling meminta maaf. Memang salah aku juga yang hanya memikirkan tentang diri sendiri tanpa mengendahkan sahabatku itu.

"Kamu berdua baguslah, happy ending. Aku pula, kena sembur air," kata Kamal. Berderai suara ketawa kami mendengar kata-katanya itu.

Aku dan Hairul telah lama mengenali Kamal. Tidak pula kusangka Hazim pun kawan Kamal juga. Aku mengetahui akan hal itu pun setelah aku dan Hazim akrab. Kamal dan Hazim setahun lebih tua daripada aku dan Hairul. Aku dan Hazim sering bertemu di taman ini, tempat kali pertama kami bertemu dan berkenalan. Ketika itu, aku akan membawa Si Hitam bermain bersama. Hazim amat menyayangi Si Hitam. Begitu juga aku. Tetapi Hazim benar-benar bersifat pemurah. Dia memberikan Si Hitam itu kepadaku untuk dipelihara. Kami sama-sama menjaga Si Hitam. Hazim sendiri yang akan membelikan makanan untuk Si Hitam. Dia tidak pernah menyusahkan aku untuk menjaga anak kucing kesayangan kami itu. Setiap kali pertemuan aku dan Hazim di taman itulah akhirnya aku mengetahui persahabatan di antara Kamal dan Hazim. Ini kerana Hazim pernah membawa Kamal untuk menemui aku di taman ini.

Kamal mempunyai sikap mudah marah. Sejak dua tahun yang lalu lagi kami sering bertengkar. Kadang-kala kerana hal kecil pun mudah berlaku pertengkaran di antara kami. Tetapi, semenjak aku dan Hazim akrab, aku dan Kamal jarang bertengkar. Keadaan inilah yang telah sekian lama aku harapkan. Namun, ianya termakbul pada hari-hari yang semakin menghampiri tahun baru. Apabila tahun baru menjelma, aku dan Kamal tidak lagi berada di sekolah yang sama kerana Kamal telah pun menamatkan tingkatan limanya pada tahun ini. Pada tahun baru nanti aku akan menghadapi SPM. Dan pada ketika itu, mungkin aku, Hazim dan Kamal sudah jarang untuk berjumpa seperti sekarang. Dan Si Hitam akan terus berada di bawah jagaanku.

"Hazim, tak sangka kerana Si Hitam kau ni, aku dan Ira jarang bergaduh macam dulu," Kamal tersengih selepas meluahkan kata-katanya itu.

"Aku juga tak sangka kerana Si Hitam ni aku akan berkenalan dengan dia. Kalau aku tak berkenalan dengan Ira, confirm kamu masih selalu bergaduh," kata Hazim.

"Macammana nak selalu bergaduh kalau dah susah nak jumpa," aku berseloroh.

"Kerana Si Hitam rupanya. Maksudnya, aku dan Ira berbaik semula kerana Si Hitam ni jugalah. Bagusnya Si Hitam," kata Hairul pula.

"Semua ini pun ketentuan Allah juga. Si Hitam hanya perantaraan dari-Nya sahaja. Rahmat menjelang tahun baru," kata Hazim.

Benar kata-katanya itu. Aku tersenyum. Si Hitam kupeluk. Terasa sayang untuk mengabaikannya. Aku berharap persahabatan kami ini berkekalan. Syukran jazilan ya Allah. Terima kasih Si Hitam.



* Cerpen penyertaan contest Mrdaha End Year 2009 Contest! dari blog Mrdaha.

Saturday, December 26, 2009

Aku.. Dia.. & Camera


Karya: N Athirah

Pamandangan di tepi pantai begitu mengasyikkan, terutamanya pada waktu senja sebegini. Seperti biasa aku hanya ditemani camera Nikon D3000 milikku untuk menangkap gambar-gambar pemandangan yang indah ini. Di kawasan sebeginilah tempat aku selalu berada pada setiap waktu senja untuk menyaksikan keindahan mentari yang terbenam di hujung laut sana.

Dalam keasyikkan menyaksikan keindahan senja di tepi pantai itu, tanpa sengaja aku terpandang seseorang yang sedang duduk bersendirian di atas tembok batu di hujung sana. Seorang gadis bertudung. Di dalam hati aku berkira-kira untuk menghampiri gadis itu atau tidak. Kerana perasaan ingin tahu mengapa gadis itu bersendirian di tempat sebegini kala ini, aku nekad menghampirinya. Dia yang menyedari akan kehadiran aku segera menoleh. Aku tersentak, terasa seolah-olah jantungku berhenti berdetak. Gadis di hadapanku ini adalah gadis yang kurindui selama lebih empat tahun setelah kami terputus hubungan ketika melanjutkan pelajaran masing-masing.

“Kau... kau buat apa kat sini?” Tanyaku, sedikit gementar.

“Dawie?” Aku hanya mengangguk bagi menjawab pertanyaannya itu. “Kau buat apa di sini?” Dia mengembalikan pertanyaanku sebentar tadi.

“Aku sekadar menghayati pemandangan di sini sambil menangkap gambar. Kau pula?”

Dia diam, berpaling ke arah lain. “Sekadar menenangkan fikiran,” jawabnya ringkas.

“Kau menangis? Kau ada masalah?” Tanyaku lagi. Bekas air mata kelihatan di pipinya. Dia hanya menunduk tanpa menjawab sebarang pertanyaan.

“Kau ada masalah dengan keluarga?” Tanyaku lagi. Dia sekadar menggelengkan kepalanya sahaja. “Dengan kawan-kawan?” Dia menggelengkan kepala lagi. “Di tempat kerja?” Sekali lagi dia menggelengkan kepala. “Kau kecewa kerana lelaki?” Pertanyaanku kali ini menyebabkan dia menoleh ke arahku.

“Aku sudah lama kenal kau. Kau suka pendam kesedihan kau sendiri. Beritahulah aku apa masalah kau sekarang ni. Aku sedia mendengar,” dia tunduk mendengar kata-kataku itu.

“Aku baru lepas putus dengan teman lelaki aku. Alasannya kerana aku tidak menepati ciri-ciri wanita idamannya. Sewaktu bercinta, bersungguh-sungguh dia katakan aku adalah wanita idamannya selama ini. Tapi sekarang, dia mendustai segala kata-katanya itu. Dia kata aku tidak seperti perempuan lain. Dan dia kata aku kelihatan seperti lelaki,” dia menceritakan segala-galanya kepadaku. “Dawie, betulkah aku ni seperti lelaki? Sejak zaman persekolahan lagi ada orang kata aku macam tu. Aku berasa seperti disindir. Betulkah aku ni sebenarnya kelihatan seperti lelaki? Betulkah?” Dia bertanya berulang-ulang kali. Hatiku sedikit terusik.

“Tidak. Kau tidak seperti lelaki. Tidak sama sekali. Kau jangan dengar semua tu. Mata mereka yang berkata sedemikian sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Mereka tidak melihat bahawa kau sebenarnya seorang perempuan. Seorang muslimah yang sentiasa menjaga diri dan auratnya. Mereka tidak pernah nampak semua itu. Mereka hanya menilai kau dari sudut yang tidak benar. Yakinlah padaku, kau adalah seorang perempuan,” aku cuba menyakinkannya.

Ya, sewaktu zaman sekolah menengah dulu, dia pernah beritahu aku bahawa ada orang kata dia tidak seperti perempuan. Mulanya aku berasa hairan. Akhirnya barulah aku tahu kenapa dia dikatakan sebegitu. Sejak kecil lagi dia memiliki lebih ramai kawan lelaki berbanding perempuan kerana kebanyakkan kawan-kawan perempuannya itu hanya berkawan dengannya ketika mereka memerlukan dia sahaja. Dia juga seorang yang bersifat tegas. Sifatnya ini menyebabkan dia tidak mudah terpedaya oleh orang lain. Tetapi di dalam dirinya tetap tersemat kelembutan dan kasih sayang. Mungkin dia dikatakan seperti lelaki kerana dia tidaklah sentiasa bersikap ayu seperti gadis-gadis yang lain, tetapi memang wajar dia bersikap sedemikian. Sebagai muslimah, dia perlu pandai menjaga dirinya dan auratnya sendiri. Menjadi satu dosa baginya jika dia membuat sesuatu yang boleh mendatangkan nafsu lelaki terhadapnya.

“Tetapi, bukan seorang sahaja yang berkata sedemikian...” katanya lagi. Mungkin dia kecewa apabila teman lelakinya sendiri mengatakan sedemikian terhadap dirinya. Sejak zaman persekolahan lagi dia sering dikecewakan sedemikian.

“Aku dah kata jangan dengar apa yang mereka cakap. Walau apa pun yang mereka katakan, kau ingatlah kata-kata aku. Kau tetap seorang gadis di pandangan mataku. Dan kau tetap puteri di hatiku.” Ikhlas aku katakan padanya. Pada mulanya dia masih berasa ragu. Aku terus berusaha menyakinkannya. Tidak lupa juga nasihat berguna untuknya, “selagi kau tak happy, mustahil aku dapat happy,” dia diam mendengar. “Bersabar sajalah. Kau mesti ingat, Allah sentiasa mendampingi orang-orang yang sabar. Ini hanya ujian daripada-NYA untuk menambahkan lagi keimanan di hati manusia,” akhirnya dia tersenyum selepas mendengar kata-kataku itu. Senyuman yang tidak dipaksa-paksa. Itulah senyuman yang aku rindui selama lebih empat tahun ini.

“Dahlah. Tirai malam dah mulai berlabuh ni. Lebih baik kita pulang sekarang,” kata-kataku yang bermadah itu telah membuatkan dia ketawa. Aku tersenyum.

Sejak pertemuan kami senja itu, aku dan dia sudah sering berjumpa. Hubungan kami akrab seperti waktu di sekolah menengah dulu. Dia tidak lagi bersedih seperti waktu aku terserempak dengan dia di tepi pantai senja yang lalu. Walaupun dia mudah mengalirkan air mata tatkala bersedih, tetapi dia juga seorang gadis yang tabah. Sejak dulu lagi dia sentiasa berusaha menyembunyikan kesedihannya di hadapan rakan-rakannya. Ramai yang mengenalinya sebagai gadis yang periang. Namun begitu, tidak kurang juga yang mengatakan dia seorang yang serius. Kadang-kala aku tergelak mendengar orang berkata sedemikian. Dia sememangnya mudah berlaku serius. Dia akan kelihatan ceria tatkala dia benar-benar gembira atau pada masa-masa dia berusaha melupakan kesedihannya.

Aku tidak mahu dia bersedih. Dia sering menyembunyikan kesedihannya sehingga aku mengetahuinya sendiri. Oleh itu, aku ingin sentiasa mengembirakan hatinya. Aku ingin menjaganya, tidak ingin dia dikecewakan lagi oleh orang lain. Keceriaannya adalah kegembiraanku, kedukaannya adalah kesedihanku. Semenjak aku bersama dia, sering bertemu dengannya, dia kerap menemani aku keluar menangkap gambar-gambar pemandangan, tidak kira atas urusan kerja mahupun untuk diri sendiri. Aku senang sering didampinginya.

“Nanti kalau dah siap gambar-gambar tu, macam biasa kau e-mel kat aku ya. Nanti aku edit design gambar terbaru lagi.” Itulah kata-kata yang sering diucapkannya setelah selesai aku membuat tangkapan gambar-gambar yang menarik. Terasa seronok bersama dengannya kerana kami memiliki minat yang sama.

“Kalaulah aku ada DSLR, dapatlah kita ambil gambar sama-sama kan.” Aku tersenyum mendengar kata-katanya itu. Dia sepertinya telah dapat melupakan kekecewaannya.

Apabila sering bersama dengannya, aku berasa terhibur. Aku tidak pernah berasa letih melayan karenahnya kerana dia tidaklah terlalu cerewet. Malah, aku berasa lebih senang apabila bersama dengannya. Dia tidaklah seperti gadis-gadis lain yang lebih suka berpakaian yang menampakkan keanggunan diri mereka dan tidak kurang juga seperti gadis-gadis yang suka menampakkan bentuk tubuh mereka. Dia lebih suka berpakaian simple, berseluar panjang, baju lengan panjang, dan bertudung. Yang penting baginya adalah menutup auratnya. Adakalanya dia akan mengenakan baju kurung apabila kami bertemu. Aku dapat merasakan ketenangan apabila melihat dirinya.

Namun begitu, kebahagiaan itu sepertinya hanya akan datang sementara. Jantungku terasa bagaikan disentap dengan kasar apabila aku mendapat tahu bahawa aku akan ditukarkan tempat kerja untuk kenaikkan pangkat. Aku gelisah memikirkan hal itu kerana aku tidak ingin berpisah lagi dengan dia. Aku tersepit di antara hendak memilih untuk menerima peluang kerjayaku itu atau memilih untuk melepaskannya. Aku bingung hendak memilih camera ataupun dia. Selama ini aku berusaha bersungguh-sungguh demi cameraku, minatku, kerjayaku. Tetapi, aku juga tidak ingin kehilangan dia yang telah lama aku rindui selama ini.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari dalam laci meja kerjaku. Benda yang ada di dalamnya itu baru sahaja aku beli tiga hari yang lalu. Benda yang ingin kuberikan kepada dia. Dapatkah aku memberikannya? Akankah dia terima pemberianku ini? Jawapan itu hanya akan kuperoleh setelah bertemu dengannya. Tetapi aku bimbang akan jawapan yang bakal aku terima.

Petang itu selepas waktu kerja, aku terus menuju ke tepi pantai tempat kali pertama aku dan dia bertemu setelah sekian lama terpisah. Seperti yang dijanjikan, dia sudah pun berada di sana. Kotak kecil yang aku simpan di laci meja kerjaku itu kini telah pun berada di dalam saku seluarku.

“Kenapa tiba-tiba kau nak jumpa aku di sini? Tidak seperti hari kebiasaannya,” dia bertanya.

Aku teragak-agak untuk menjawab pertanyaannya itu, bimbang melukakan hatinya. “Aku akan ditukarkan tempat kerja ke luar daerah pada bulan hadapan. Mungkin kita tidak lagi dapat bertemu seperti selalu,” jawabku. Aku melihat reaksinya. Pada mulanya air mukanya kelihatan tenang. Tetapi kemudiannya dia memalingkan wajah ke arah lain. Marahkah dia?

“Tahniah!” Ucapnya sepatah. Aku berasa ragu-ragu dengan ucapan itu. Perlahan-lahan aku berjalan menghadap dirinya. Matanya berkaca. “Terima kasih kerana menjadi teman aku selama ini. Aku juga tidak tahu bila dapat menemui kau lagi. Akhirnya kau tetap akan meninggalkan aku juga seperti dulu.” Hatiku terusik mendengar kata-katanya itu.

“Aku tidak terniat untuk meninggalkan kau,” kataku.

Dia tidak bersuara. Aku melihat air matanya mengalir. Kali ni aku nekad untuk meluahkan isi hatiku kepadanya. Aku tidak ingin melihat dia terus-terusan bersedih. “Kau tahu apa itu ‘Syurga Cinta’?” Tanyaku.

“Kau juga menonton filem itu? ‘Syurga Cinta’... Maksud yang tidak pernah aku lupakan,” katanya dalam sebak. Kemudian dia menentang mataku, dan aku membalas tentangannya itu.

“Manusia memiliki tiga cabang cinta. Cabang yang pertama ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, dan kamu saling jatuh cinta. Kamu menjadi kekasihnya, dan berlakulah maksiat di antara kamu. Maka, itulah cinta dari syaitan.” Aku mendengar dengan diam tanpa menggangu penjelasannya itu.

“Cabang yang kedua ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis dan kamu jatuh cinta padanya. Tetapi gadis itu tidak menerima cinta kamu, maka kamu bomohkan dia. Maka, itulah dia cinta dari jin.” Dia masih menatap mataku dan aku tidak mengalihkan pandanganku. Aku terus mendengar tanpa memintas sebarang kata-katanya.

“Cabang yang ketiga pula ialah, apabila kamu bertemu dengan seorang gadis, melihat matanya dan rasa itu turun ke hati, kamu saling jatuh cinta. Kamu melamar dia dan menikahi dia. Maka, itulah dia cinta dari Allah, makna sebenar Syurga Cinta.” Dia menghabiskan kata-kata terakhirnya.

“Aku ingin mendapatkan cinta dari Allah itu,” kataku. Dia diam menunggu aku meneruskan kata-kataku.

Aku mengeluarkan kotak kecil dari saku seluarku dan menyambung kata-kataku itu, “sekiranya kau sudi menjadi permaisuri hatiku.”

Dia diam memandang wajahku. Kotak kecil itu kuserahkan kepadanya. Perlahan dia membuka kotak kecil itu, di dalamnya tersimpan sebentuk cincin yang kubelikan untuknya. Dia tersenyum dan kembali menatap wajahku. Pipinya mulai kelihatan merah. Malu? Dan aku masih menunggu jawapannya. Dia mengangguk tersipu malu. Hatiku melonjak kegembiraan. Dia menerima lamaranku di hadapan senja yang kemerah-merahan itu. Senja yang indah itu menjadi saksi pengakuanku yang diterima olehnya. Walaupun pada mulanya cincin yang kubelikannya itu agak longgar pada jari manis tangan kirinya dan kami terpaksa pergi ke kedai cincin untuk mengecilkannya, dia tetap gembira dengan pemberianku itu.

Dua minggu kemudian rombongan keluargaku datang ke rumahnya untuk merisik dan meminang dia. Tidak lama selepas itu sebelum aku ditukarkan tempat kerja, kami segera ditunangkan. Dalam tempoh pertunangan itu, kami kerap berhubung. Aku juga selalu menghantar e-mel kepadanya yang disertakan gambar-gambar keindahan yang aku tangkap sendiri menggunakan DSLR milikku itu. Apabila ada kelapangan, aku akan pulang untuk menemuinya. Dia pula sentiasa mengambil-berat akan diriku walau di manapun aku berada. Terasa bahagia apabila merasa diri ini sentiasa dijaga dan diberi perhatian.

Kata orang tua-tua, perkara yang baik itu sebaiknya dipercepatkan. Tidak elok dilambat-lambatkan, bimbang menjadi maksiat. Genap setahun kami bertunang dan aku ditukarkan tempat kerja, wang simpananku telah cukup untuk mengahwininya. Aku mengambil cuti untuk pulang. Kami diakad nikahkan di masjid dan bersanding di rumah dia, gadis yang menjadi idamanku selama ini untuk menjadi pelamin hidupku, permaisuri hatiku.

Kebahagiaan yang kuimpikan setelah sekian lama merindu itu akhirnya kukecapi jua. Aku bersyukur dipertemukan jodoh dengan dia, seorang muslimah dan isteri solehah yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami. Kerana camera aku dan dia bertemu kembali, dan kerana camera juga aku meluahkan hasratku kepadanya. Akhirnya, kerana camera jua lah aku dan dia dapat hidup bersama.

TAMAT
21:25 (Sabtu)
26 Disember 2009


Penulis tidak memberi nama untuk watak 'dia' di dalam cerpen ini. Terpulanglah kepada pembaca ingin memberi nama apa sekali pun. Sesungguhnya penulis sendiri menyimpan impian untuk mendapat kebahagiaan seperti yang 'dia' dapat di dalam kisah ini... Cerpen ini tidak ada kena-mengena dengan manusia yang masih hidup mahupun yang telah mati. Cerpen ini hanyalah imaginasi penulis sendiri dalam keinginan untuk mencapai impian dalam mencari kasih yang suci dan abadi...

Pengajaran buat kita bersama:
Sesungguhnya cinta dari Allah itu lambang kebahagian manusia. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha mendapatkan cinta dari Allah itu...





* Cerpen penyertaan Contest : RM50 untuk dimenangi dari blog Oh!Dawie bersempena dengan hari lahir empunya blog itu sendiri, Mohd Qardhawi Bin Mohd Yusof pada awal Januari 2010.

Thursday, June 25, 2009

Berakit-rakit Ke Hulu, Berenang-renang Ketepian

Berikut ialah cerpen yang aku tulis untuk karangan Bahasa Melayu kertas 1 (kalau aku tidak salah) Bahagian B. Beberapa pembetulan dah aku buat selepas melihat semakan Puan Norizan.

Soalan meminta calon yang memilih soalan tersebut untuk menulis cerpen berdasarkan peribahasa "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian".


"Abang, sampai bila kita hidup begini? Perbelanjaan sekolah dan kehidupan harian, kita sendiri tanggung. Sambil belajar, kita cari duit. Susahlah, bang. Humaira sendiri hanya mampu bergantung pada honorarium dari hasil penulisan puisi dan cerpen. Abang pula, selepas balik sekolah terpaksa pergi bekerja. Humaira bosanlah. Kita jarang dapat bersama-sama. Humaira rindu kemesraan yang lalu. Humaira rindu kenangan yang lalu. Humaira..." Kata-kata Humaira terhenti di situ kemudian disambung dengan tangisan.

Zarul menarik lembut tangan Humaira. Perlahan-lahan diletakkan kepala Humaira di dadanya. Didakapnya Humaira dengan penuh kasih sayang. Baginya, itulah satu-satunya hartanya yang tersangatlah bernilai setelah kematian ibu dan ayah pada hujung tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Zarul tiada siapa-siapa lagi melainkan adik perempuannya.

"Humaira, sabarlah sayang. Sabar itukan separuh daripada iman. Biarlah kita bersusah sekarang. InsyaAllah Tuhan akan menunjukkan jalan kesenangan untuk kita. Abang akan sentiasa usahakan apa yang abang mampu. Humaira perlu ingat, abang sentiasa sayangkan adik abang ini. Humaira sahaja satu-satunya adik abang." Pujuk Zarul.

Tangisan Humaira beransur-ansuru reda. Zarul faham akan perasaan adiknya itu. Humaira baru sahaja berumur 15 tahun, tetapi terpaksa menjalani hidup sedemikian tanpa ayah dan ibu. Zarul sendiri pada tahun itu berusia 17 tahun. Dia tetap meneruskan pelajarannya sambil bekerja. Dia tetap berusaha tidak mengabaikan pelajaran walaupun kehidupan mereka adik-beradik susah.

Jika dahulu, sebelum mereka kehilangan ibu dan ayah, Humaira dan Zarul merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Tetapi semenjak terpaksa menjalani kehidupan sendiri tanpa orang tua, prestasi pelajaran mereka semakin merosot. Humaira lebih banyak meluangkan masanya untuk menulis cerpen atau puisi. Manakala Zarul pula terpaksa bekerja sambilan untuk mendapatkan duit.

Di sekolah, Humaira dan Zarul terpaksa menebalkan muka dan bertahan dengan leteran guru-guru mereka. Pernah beberapa kali mereka terpaksa berhadapan dengan Pengetua Sekolah kerana kemerosotan pelajaran mereka. Walaubagaimanapun, jawatan mereka sebagai pengawas sekolah tidak dilucutkan kerana prestasi tugas mereka masih di tahap memuaskan.

Rakan-rakan sekolah Humaira dan Zarul berasa hairan dengan keadaan mereka dua beradik. Pada tahun-tahun sebelumnya, mereka akan berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan prestasi yang bagus dalam setiap mata pelajaran. Tetapi, pada tahun itu Humaira dan Zarul seperti tiada semangat untuk bersaing. Rakan-rakan mereka risau dengan perubahan tersebut.

"Abang, Humaira sedang menyiapkan cerita Siri Mujahidul Haq untuk dibukukan. Abang boleh tolong bacakan dan beri komen?" Tanya Humaira pada suatu malam.

Zarul mengangguk sambil tersenyum. Dia membaca hasil karya adiknya itu. "Kisah empat orang remaja yang berasal dari alam Mujahid diberi amanah untuk melakukan amar ma'aruf nahi munkar. Macam bagus saja ceritanya. Esok abang beri komen ya. Humaira teruskan sahaja menulis, abang yakin karya ini bagus." Respons Zarul. Humaira tersenyum riang.

Pada keesokkan harinya, Humaira dan Zarul seperti biasa pergi ke sekolah untuk menimba ilmu. Humaira kelihatan gembira dan tidak sabar untuk menunggu waktu malam tiba. Kegembiraan yang terpancar di wajahnya menimbulkan tanda tanya di minda rakan-rakan dan guru sekolahnya. Apabila ditanya sebabnya, Humaira hanya menggelengkan kepala dan cuba berdalih.

Tamat waktu persekolahan, seperti biasa Humaira mengayuh basikalnya balik ke rumah. Zarul pula segera menuju ke tempat kerjanya. Di rumah, Humaira menerima sepucuk surat yang dijumpainya di dalam peti surat. Apabila disemak, surat itu dikirim oleh Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Pasti cek untuk karyaku yang tersiar." Fikir Humaira. Ramalannya tepat apabila dia membuka sampul surat tersebut. Dia keriangan dan menyimpan cek itu dan menunggu masa untuk ditukarkan.

Pada malam hari, waktu yang ditunggu-tunggu telah tiba. Zarul memberikan respons positif mengenai karya Humaira. Dia memberikan semangat untuk Humaira menyiapkan karya tersebut agar dapat dihantar untuk diterbitkan.

"Humaira rancang, karya itu nak diterbitkan oleh siapa?" Tanya Zarul.

"e-Sastera. Humaira boleh menghantar melalui e-mel. Tambahan pula, mereka turut membuat surat perjanjian beserta saksi. Humaira harap, hasil penjualan buku itu nanti, boleh menambahkan pendapatan kita." Beritahu Humaira. Zarul tersenyum sambil menganggukkan kepala.

Hari demi hari Humaira terus menulis. Setelah selesai, hasilnya itu dihantar untuk disemak. Humaira menunggu respons daripada pihak penerbit dengan sabar. Sementara itu, dia kini mula mengulangkaji dengan bersungguh-sungguh. Hari peperiksaan Penilaian Menengah Rendah semakin hampir. Perlahan-lahan prestasi pelajarannya semakin meningkat.

Zarul juga tidak ketinggalan untuk meningkatkan prestasi pelajarannya semula. Dia berharap agar memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Pengetahuan mereka dimanfaatkan. Peperiksaan dihadapi dengan tenang. Kini masing-masing menunggu keputusan peperiksaan mereka. Humaira menunggu keputusan PMRnya dengan penuh debaran. Zarul berada di sisi Humaira memberi semangat.

Apabila diumumkan bahawa mereka sudah boleh mengambil slip PMR masing-masing mengikut kelas, dengan bacaan bismillah Humaira melangkah bersama rakan-rakannya untuk melihat keputusan. Slip PMR dilihatnya dengan linangan air mata. Suasana riuh dengan tangisan kegembiraan. Masing-masing berpelukan sesama sendiri. Humaira berlari ke arah abangnya. Segera dipeluknya Zarul dengan tangisan kegembiraan. Pada ketika itu, Zarul baru sahaja selesai menjawab penggilan telefon.

"Abang, Humaira dapat 8A 1B." Kata Humaira. Zarul gembira mendengar keputusan itu.

"Humaira bukan sahaja cemerlang dalam PMR. Karya Humaira juga mendapat sambutan. Siri Mujahidul Haq mendapat sambutan yang baik. Humaira memang penulis yang berbakat." Beritahu Zarul.

"Inna ma'al usriyusra. Surah al-Insyirah, ayat 6." Kata Humaira ringkas.

"Ya. Dalam kesusahan ada kesenangan. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian." Zarul memeluk Humaira dengan erat.



TAMAT

Sunday, June 7, 2009

ANDAI KU TAHU

Hairan. Kenapa akhir-akhir ini ayah bersikap pelik ya? Tidak seperti biasanya. Aku baru sahaja demam sedikit, risaunya pula yang lebih. Apa yang ayah fikirkan sebenarnya? Adakah ayah terkenang ibu semula? Tapikan, ibu sudah setahun meninggal. Ayah tidak pernah pula bersikap aneh sebegini.

Hari ini, aku terpaksa balik dari sekolah berjalan kaki. Terbit juga perasaan marah. Tapi apa boleh buat, dah nasib aku. Tadi aku menjalani peperiksaan Prinsip Perakaunan. Masa tamat peperiksaan ialah jam 2 petang. Tetapi, apabila aku sampai sahaja di kawasan pelajar menunggu kenderaan untuk pulang dari sekolah, bas sekolah aku sudah tiada. Begitu juga rakan-rakan sebasku yang lain sudah tidak kelihatan. ARGH! Pasti mak cik bas cuma ambil pelajar yang balik pada jam 1.20 petang. Kenapalah mak cik bas tu tidak mengambil penumpang pada jam 2 petang? Bukankah selalunya mak cik akan ambil 2 trip. Dan sekarang, aku terpaksa berjalan kaki sejauh lebih 2 kilometer dalam keadaan kehabisan air mineral yang selalu aku bawa ke sekolah.

Bukannya aku tiada duit untuk membayar tambang menaiki bas mini. Tetapi, apabila melihat keadaan perhentian bas, kelihatan pelajar masih penuh di sana menunggu bas. Jadi, aku rasa lebih baik aku berjalan kaki daripada lebih sejam aku menunggu bas mini.

Ternyata benar tiada bas mini yang akan masuk ke kawasan kampung pada ketika ini. Yang ada hanyalah bas yang menuju ke pusat bandar. Maklumlah, sekarang masa untuk para pekerja kembali meneruskan pekerjaan masing-masing.

Sesampai di rumah, aku sedikit terkejut. Motosikal dan kereta ayah masih berada di hadapan rumah. Ayah tidak pergi kerjakah? Selepas aku memberi salam di muka pintu, aku melihat ayah baru sahaja keluar dari bilik.

“Eh! Ayah belum pergi kerja lagi?” Tanyaku.

“Sekejap lagi. Putri kenapa lambat balik hari ini? Mira di sebelah rumah tu sudah pun sampai ke rumah hampir sejam yang lalu.” Sudah kujangka pertanyaan itu bakal aku terima.

“Peperiksaan kelas kami hari ini selesai jam 2 petang. Manakala kelas lain pula selesai jam 1.20 petang. Jadi, mak cik bas tak ambil jam 2 tadi. Terpaksalah Putri jalan kaki.” Beritahu aku.

“Laa… kenapa tidak ikut bas atau telefon ayah?” Ayah bertanya lagi.

“Tiada bas yang masuk ke kawasan kampung tadi. Yang ada hanyalah bas yang menuju ke pusat bandar.” Jawabku. “Dan… tidak terfikir pula nak telefon ayah tadi. Lagipun, mungkin terpaksa membuang masa lagi masuk ke perkarangan sekolah untuk meminjam telefon di pejabat sekolah. Sebab telefon awam rosak.” Sambungku.

“Apa-apa pun, lain kali berusaha juga telefon ayah kalau terjadi perkara macam ini. Tambahan lagi Putri demam sekarang ini. Tidak elok berpanas.” Jelas garis-garis kerisauan di wajah ayah.

“Baik, ayah.” Aku akur.

“Jangan lupa solat dan makan nasi. Jangan lupa makan ubat juga. Ayah pergi kerja dulu.” Pesan ayah. Aku mengangguk kemudian bersalaman dengan ayah.

Ayah selalu bersabar dan mengambil berat mengenai aku. Cuma kali ini nampak berbeza. Ayah terlalu mengambil berat kini. Inilah yang menimbulkan tanda tanya di fikiranku. Apa yang telah berlaku menyebabkan ayah berkelakuan begini?

Selepas mengerjakan segala pesan ayah, aku duduk sendirian di halaman rumah. Fikiranku bercelaru. Memikirkan hal ayah dan peperiksaan pertengahan tahun yang sedang aku hadapi. Ah! Kalau difikirakan sangat, bertambah tertekan aku.

Tetapi, aku terus juga berfikir mengenai ayah. Apabila mengenang kembali perbualan ayah dengan pak cik aku semalam, pak cik menceritakan mengenai seorang pelajar sekolah yang diberitakan telah meninggal secara mengejut. Tiada punca yang boleh dikategorikan sebagai punca kematian yang utama. Pelajar itu tidak mengalami sebarang penyakit. Ya... mungkin sudah tiba ajalnya pada ketika itu. Tiada siapa yang tahu. Adakah ayah risau akan keadaan aku? Bimbang aku juga mengalami nasib yang sama seperti pelajar itu? Sungguh aku tidak mengerti.

Pada keesokkan harinya, seperti biasa aku bersiap-siap untuk ke sekolah. Sejak semalam ayah berpesan agar aku membawa ubat penahan sakit dan ubat-ubat tertentu ke sekolah. Sekali lagi aku berasa hairan. Tetapi aku terpaksa akur. Pagi ini aku dan ayah bersarapan sebelum aku ke sekolah. Ubat-ubat yang perlu aku bawa ayah sediakan di atas meja makan.

Selepas selesai bersarapan, aku segera mendapatkan beg sekolahku dan bersalaman dengan ayah. Aku perlu ke simpang masuk rumah kami untuk menunggu bas sekolah. Namun, ketika bas sekolah aku sampai untuk menjemput aku, barulah aku ingat bahawa ubat-ubat yang ayah sediakan tadi aku terlupa ambil.

“Mak cik, Putri ikut bas mini sajalah. Ada barang tertinggal di rumah. Maaf ya.” Kataku kepada pemandu bas sekolahku.

Aku segera berlari ke rumah. Daripada aku dimarah oleh ayah kerana terlupa membawa ubat-ubat itu, lebih baik aku pergi ambil sekarang. Adakah patut dalam masa 10 minit aku menunggu bas tadi aku langsung tidak teringat akan ubat-ubat itu.

Sampai sahaja di muka pintu, aku segera membuka kasut dan masuk ke dalam rumah. Tetapi, aku tidak melihat kelibat ayah. Aku terus ke meja makan dan mendapatkan ubat-ubat yang ayah sediakan tadi. Tapi, aku terus berasa hairan. Kelibat ayah langsung tidak kelihatan. Di mana ya ayah?

“Ayah, ayah…” Panggilku. Namun, tiada jawapan.

Aku menjenguk ke dapur dan belakang rumah. Tidak kelihatan. Sedangkan motosikal dan kereta masih ada di hadapan. Aku menuju ke bilik ayah. Apabila aku menjenguk ke dalam, juga tidak kelihatan. Ketika aku ingin keluar, hatiku tiba-tiba terusik ingin masuk ke dalam bilik ayah. Apabila aku masuk ke dalam, aku ternampak sepasang kaki terbujur di atas lantai di sebalik katil.

Ya, Allah! Kenapa dengan ayah? Aku segera mendapatkan ayah. Ayah terbaring kaku di atas lantai. Aku cuba kejutkan ayah. Tetapi ayah tidak juga sedarkan diri. Aku berlari ke luar rumah memanggil jiranku, Mak Cik Midah dan suaminya. Kami sama-sama menuju ke bilik ayah.

“Innalillahi wa inna ila hi ro ji’un.” Lancar Pak Cik Hamid, suami Mak Cik Midah melafazkan ayat tersebut. Ya, Allah! Apa semua ini?

“Astaghfirullah al-aziim. Baru sebentar tadi kami sempat berbual dengan ayah kamu, Putri. Dia kelihatan baik sahaja. Sihat.” Kata Mak Cik Midah. Dia bagai tidak percaya apa yang berlaku di hadapan matanya ini. Apa lagi aku yang masih muda untuk menghadapi semua ini. “Putri sabar ya.” Kata Mak Cik Midah.

Ya, Allah! Kenapa semua ini berlaku ke atas diriku? Dua tahun berturut-turut aku kehilangan orang yang aku sayang. Dan kini aku tinggal sendirian. Ya, Allah! Terlalu besar dugaan yang kau berikan ini.

Ayah… andai Putri tahu semua ini akan berlaku, Putri tidak akan awal pergi ke sekolah hari ini. Maafkan Putri ayah kerana Putri tidak ada di sisi ayah saat ayah pergi dijemput kembali menghadap Ilahi.

Ya, Allah! Sebelum aku sempat membalas kebaikan ayah, Kau telah menjemputnya terlebih dahulu. Ya, Allah! Andai ku tahu semua ini bakal berlaku……



Nukilan: N Athirah

* Didedikasikan sempena Hari Bapa
** Penyertaan pertandingan Entri Terbaik Hari Bapa 2009 di laman SangPelangi
 
Template by: Abdul Munir