Soalan meminta calon yang memilih soalan tersebut untuk menulis cerpen berdasarkan peribahasa "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian".
"Abang, sampai bila kita hidup begini? Perbelanjaan sekolah dan kehidupan harian, kita sendiri tanggung. Sambil belajar, kita cari duit. Susahlah, bang. Humaira sendiri hanya mampu bergantung pada honorarium dari hasil penulisan puisi dan cerpen. Abang pula, selepas balik sekolah terpaksa pergi bekerja. Humaira bosanlah. Kita jarang dapat bersama-sama. Humaira rindu kemesraan yang lalu. Humaira rindu kenangan yang lalu. Humaira..." Kata-kata Humaira terhenti di situ kemudian disambung dengan tangisan.
Zarul menarik lembut tangan Humaira. Perlahan-lahan diletakkan kepala Humaira di dadanya. Didakapnya Humaira dengan penuh kasih sayang. Baginya, itulah satu-satunya hartanya yang tersangatlah bernilai setelah kematian ibu dan ayah pada hujung tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Zarul tiada siapa-siapa lagi melainkan adik perempuannya.
"Humaira, sabarlah sayang. Sabar itukan separuh daripada iman. Biarlah kita bersusah sekarang. InsyaAllah Tuhan akan menunjukkan jalan kesenangan untuk kita. Abang akan sentiasa usahakan apa yang abang mampu. Humaira perlu ingat, abang sentiasa sayangkan adik abang ini. Humaira sahaja satu-satunya adik abang." Pujuk Zarul.
Tangisan Humaira beransur-ansuru reda. Zarul faham akan perasaan adiknya itu. Humaira baru sahaja berumur 15 tahun, tetapi terpaksa menjalani hidup sedemikian tanpa ayah dan ibu. Zarul sendiri pada tahun itu berusia 17 tahun. Dia tetap meneruskan pelajarannya sambil bekerja. Dia tetap berusaha tidak mengabaikan pelajaran walaupun kehidupan mereka adik-beradik susah.
Jika dahulu, sebelum mereka kehilangan ibu dan ayah, Humaira dan Zarul merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Tetapi semenjak terpaksa menjalani kehidupan sendiri tanpa orang tua, prestasi pelajaran mereka semakin merosot. Humaira lebih banyak meluangkan masanya untuk menulis cerpen atau puisi. Manakala Zarul pula terpaksa bekerja sambilan untuk mendapatkan duit.
Di sekolah, Humaira dan Zarul terpaksa menebalkan muka dan bertahan dengan leteran guru-guru mereka. Pernah beberapa kali mereka terpaksa berhadapan dengan Pengetua Sekolah kerana kemerosotan pelajaran mereka. Walaubagaimanapun, jawatan mereka sebagai pengawas sekolah tidak dilucutkan kerana prestasi tugas mereka masih di tahap memuaskan.
Rakan-rakan sekolah Humaira dan Zarul berasa hairan dengan keadaan mereka dua beradik. Pada tahun-tahun sebelumnya, mereka akan berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan prestasi yang bagus dalam setiap mata pelajaran. Tetapi, pada tahun itu Humaira dan Zarul seperti tiada semangat untuk bersaing. Rakan-rakan mereka risau dengan perubahan tersebut.
"Abang, Humaira sedang menyiapkan cerita Siri Mujahidul Haq untuk dibukukan. Abang boleh tolong bacakan dan beri komen?" Tanya Humaira pada suatu malam.
Zarul mengangguk sambil tersenyum. Dia membaca hasil karya adiknya itu. "Kisah empat orang remaja yang berasal dari alam Mujahid diberi amanah untuk melakukan amar ma'aruf nahi munkar. Macam bagus saja ceritanya. Esok abang beri komen ya. Humaira teruskan sahaja menulis, abang yakin karya ini bagus." Respons Zarul. Humaira tersenyum riang.
Pada keesokkan harinya, Humaira dan Zarul seperti biasa pergi ke sekolah untuk menimba ilmu. Humaira kelihatan gembira dan tidak sabar untuk menunggu waktu malam tiba. Kegembiraan yang terpancar di wajahnya menimbulkan tanda tanya di minda rakan-rakan dan guru sekolahnya. Apabila ditanya sebabnya, Humaira hanya menggelengkan kepala dan cuba berdalih.
Tamat waktu persekolahan, seperti biasa Humaira mengayuh basikalnya balik ke rumah. Zarul pula segera menuju ke tempat kerjanya. Di rumah, Humaira menerima sepucuk surat yang dijumpainya di dalam peti surat. Apabila disemak, surat itu dikirim oleh Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Pasti cek untuk karyaku yang tersiar." Fikir Humaira. Ramalannya tepat apabila dia membuka sampul surat tersebut. Dia keriangan dan menyimpan cek itu dan menunggu masa untuk ditukarkan.
Pada malam hari, waktu yang ditunggu-tunggu telah tiba. Zarul memberikan respons positif mengenai karya Humaira. Dia memberikan semangat untuk Humaira menyiapkan karya tersebut agar dapat dihantar untuk diterbitkan.
"Humaira rancang, karya itu nak diterbitkan oleh siapa?" Tanya Zarul.
"e-Sastera. Humaira boleh menghantar melalui e-mel. Tambahan pula, mereka turut membuat surat perjanjian beserta saksi. Humaira harap, hasil penjualan buku itu nanti, boleh menambahkan pendapatan kita." Beritahu Humaira. Zarul tersenyum sambil menganggukkan kepala.
Hari demi hari Humaira terus menulis. Setelah selesai, hasilnya itu dihantar untuk disemak. Humaira menunggu respons daripada pihak penerbit dengan sabar. Sementara itu, dia kini mula mengulangkaji dengan bersungguh-sungguh. Hari peperiksaan Penilaian Menengah Rendah semakin hampir. Perlahan-lahan prestasi pelajarannya semakin meningkat.
Zarul juga tidak ketinggalan untuk meningkatkan prestasi pelajarannya semula. Dia berharap agar memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Pengetahuan mereka dimanfaatkan. Peperiksaan dihadapi dengan tenang. Kini masing-masing menunggu keputusan peperiksaan mereka. Humaira menunggu keputusan PMRnya dengan penuh debaran. Zarul berada di sisi Humaira memberi semangat.
Apabila diumumkan bahawa mereka sudah boleh mengambil slip PMR masing-masing mengikut kelas, dengan bacaan bismillah Humaira melangkah bersama rakan-rakannya untuk melihat keputusan. Slip PMR dilihatnya dengan linangan air mata. Suasana riuh dengan tangisan kegembiraan. Masing-masing berpelukan sesama sendiri. Humaira berlari ke arah abangnya. Segera dipeluknya Zarul dengan tangisan kegembiraan. Pada ketika itu, Zarul baru sahaja selesai menjawab penggilan telefon.
"Abang, Humaira dapat 8A 1B." Kata Humaira. Zarul gembira mendengar keputusan itu.
"Humaira bukan sahaja cemerlang dalam PMR. Karya Humaira juga mendapat sambutan. Siri Mujahidul Haq mendapat sambutan yang baik. Humaira memang penulis yang berbakat." Beritahu Zarul.
"Inna ma'al usriyusra. Surah al-Insyirah, ayat 6." Kata Humaira ringkas.
"Ya. Dalam kesusahan ada kesenangan. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian." Zarul memeluk Humaira dengan erat.
